Thursday, October 9, 2008

Ketegasan Tuan Guru Hj ABdul Hadi Awang: Hikmah Besar buat Ummah - Siri 2




"Siri Kedua - Tegas dengan Islam : China dan India tak sokong?

PAS sejak awal perjuangannya bukan sahaja tegas dengan dasar Islamnya bahkan sangat konsisten berjuang bagi memastikan Islam dan syariatnya dapat dilaksanakan . Yakin penuh dengan pengamatan saya , bahawa PAS tidak pernah menggadaikan dasar perjuangannya biarpun dibayar jutaan ringgit.

Kalau kita tengok Tok Guru Nik Abdul Aziz demikian juga Tok Guru Hj. Abdul Hadi menyampaikan ceramah – ceramah umum mereka , pasti sahaja ucapan atau pidato mereka bersulam ayat – ayat suci al quran dan sunnah. Ia melambangkan sikap konsisten ulamak al mujahid ini. Membahas isu semasa pun turut dikupas berasaskan perspektif syara’ atau sunnah.

Ya … saya pun memang tidak mampu menafikan bahawa sememangnya ketegasan ulama’ Islam dan pemimpin PAS terhadap Islam sebagai dasar perjuangan ini silih berganti .

ü Ustaz Abu Bakar al Baqir ( 1907 – 1974 ) menegaskan pandangannya demi memastikan Tanah Melayu sebagai Darul Islam pada tahun 1948 :

“ dalam Islam telah cukup syarat – syarat yang membawa kepada keselamatan dunia dan akhirat sekiranya seluruh umat Islam mengamalkannya. Islam lebih demokrasi dari demokrasi dan lebih baik dari segala yang baik ”

ü Dr. Burhanuddin al Helmy ( 1911 – 1969 ) telah menegaskankan dihari Pembukaan Mesyuarat Agung PAS ke 12 ( 1964 ) bahawa :

“ dalam pergolakan politik di tanah air kita ini , PAS muncul dengan cita – cita kenegaraan Islam . Cita - cita ini wujud dan diperjuangkan berdasarkan keyakinan hidup beragama dalam kalangan pendukung PAS . dinyalakan oleh sinar sejarah nabi saw dan sahabatnya yang telah Berjaya membentuk Negara dan pemerintahan yang bercorak dan berhukumkan Islam dan pentadbirannya.”

ü Dato’ Profesor Zulkifli Muhammad ( 1927 – 1964 ) dalam Suara Islam 15 Mei 1957 menulis :

“ Tugas menegakkan sebuah Negara Islam yang di dalamnya ideology Islam dan segala undang – undang di dalamnya , adalah kewajiban pokok yang harus diperjuangkan oleh tiap – tiap mereka yang bernama muslim , lebih – lebih lagi parti Islam seperti PAS .”

ü Tuan Guru Yusof Rawa ( 1922 – 2000 ) di dalam ucapan Dasarnya dalam Muktamar Tahunan PAS ke 35 ( 1989 )

“ Kita memilih penyertaan dalam pilihanraya sebagai satu pendekatan untuk mencapai matlamat perlaksanaan Islam bersama dengan program tarbiyyah yang berterusan dikalangan ahli dan masyarakat sebagai program yang utama dan asasi ”

ü Tuan Guru Hj. Fadzil Noor ( 1937 – 2002 ) menegaskan :

“ PAS sebagai sebuah Jamaah Muslimin dan wadah kepada perjuangan umat , adalah satu daripada mata rantai Gerakan Islam seluruh dunia . Ia bersama – sama dengan Ikhwan Muslimin di Mesir , Jamaat Islami di benua kecil India , Refah party di Turki , FIS di Algeria , HAMAS di Palestin dan lain – lain Harakah islam di seluruh dunia , mendukung perjuangan Islam dan bangun bersama Islam serta merealisasikan corak hidup Islam.”

ü Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat ( 1931 – sekarang )

“ Kita sangat menekankan Islam kerana hanya dengan Islam sahajalah masyarakat Islam dan belum Islam akan bahagia dan selamat . islam bukan sifat menginayai tetapi ia penuh dengan rahmat dan kesejahteraan kerana ia diturunkan oleh Allah swt melalui nabi saw yang bersifat dengan rahmatan lil a’lamin . “ rujuk OFF ROAD Nik Abdul Aziz Nik Mat m/s 39

ü Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang ( 1947 – sekarang ) berani menegaskan sewaktu berada di puncak kuasa Kerajaan negeri Terengganu pd tahun 1999 :

“ saya rela kerajaan ini tumbang demi menegakkan Islam tetapi tidak sanggup melihat ia tumbang kerana rasuah dan penyelewengan .”

Lagu tu lah konsistennya tok – tok guru kita sejak dulu memimpin jamaah bersama dengan sikap yang tegas terhadap Islam sebagai asas perjuangan yang tidak pernah luntur . Biar bagaimana strategi digubal , walau apa halangan ditempoh dan apa pun bentuk tawaran yang dihidang , inilah penegasan mereka . Islam , Islam , Islam , Islam , Islam , Islam dan Islam .

Saat mereka yang memimpin jamaah ini tegas bersama Islam lah , orang Tiong Hua dan India menubuhkan Kelab Penyokongnya diseluruh Negara . Mereka tidak menganut Islam tetapi mereka menyedari Islam sebagai dasar perjuangan PAS . Mereka terima dan sokong PAS dalam keadaan mereka boleh menyertai DAP atau PKR kalau pun mereka tidak mahu menyertai MIC , MCA dan Gerakan ..

Siapa kata kalau Tok Guru tegas dengan Islam maka orang bukan Islam akan lari meninggalkan PAS ? Siapa pula yang gatal mulutnya menjaja ayat ke serata tempat kononnya orang bukan Islam menyesal mengundi PAS kerana presidennya terlalu tegas dengan Islam ?

Analisis siapa yang terlalu dangkal lantas menganggap kerana presidennya terlalu tegas dengan Islamlah menjadi punca kerajaan baru tergendala penubuhannya pada 16 Sept baru nih dan kalau tak jadi tubuh , tok gurulah orang wajar dipersalahkan ! Siapa yang buat analisis nakal macam nih ?

Siapa pula yang lantang berkata sikap Tok Guru yang tegas menyebut Islam mesti Dominan untuk tubuh Kerajaan Baru sebagai kenyataan yang tidak berhikmah ? malah ada yang menyebut kononnya sikap Tok Guru yang tegas dipandang tidak konsisten mempertahankan Pakatan rakyat dan menakutkan orang bukan islam ?

Please ! ( hah mula lah saya nak cakap orang putih ) siapa yang yang kata Cina dan India takut kat Tok Guru ? Lim Kit Siang takut ? kan anak dia sendiri kata nak perintah negeri cara Omar Abdul Aziz . Cara Islam lah tuh ! Ke Lim Kit Siang pun dah mula takut kat anak dia sendiri ?

Kepada Tok Guru sah Lim Kit Siang tak takut . Elok jer Lim Kit Siang ziarah Tok Guru di kediamannya Rusila. Tidak sedikit pun timbul rasa gentar malah Lim Kit Siang disambut dengan juadah hari raya penuh mesra . Habis tu , siapa yang takut kepada Tok Guru ni ? Tak kan ahli PAS takut kepada Presiden dia sendiri ?

Ada Orang cabar Saya Berhujjah ( berdebat )

Maaf lah sahabat , banyak pulak soalan . Soalan ni timbul sebanyak ini sebab saya perlukan jawapan sebanyak itu di atas tohmahan yang begitu banyak menerjah . Malah baru ni , siap ada orang cabar saya berhujjah . Saya kenal benar orang yang cabar saya tu dan dia pun kenal saya . Saya tidak faham kenapa dia cabar saya ?

Walau dia cabar saya tidak secara langsung , tapi jelas dia cabar saya berhujjah dengan dia . kalau yang cabar saya tuh Astora jabat , Khairy Jamaludin atau Dr. Mashitah , pukul 12 tengahari dia cabar , pukul 12.01 minit saya sahut cabaran dia .

Pertama kerana saya tidak kalah demi mempertahankan Islam . Saya akan tampil dengan segala kemampuan . Kedua , saya pun kaki debat dan suka sangat debat – debat nih , bukan dia jer pandai debat .

Tapi kalau yang cabar tu ahli jamaah sendiri , saya malu nak sahut . Minta maaflah . Kata orang , kalau kalah malu dan kalau menang tidak sohor ( masyhur ). Saya minta maaf banyak – banyak.

Saya tidak sahut cabaran berhujjah tu bukan kerana saya tidak hormati cabaran saudara jauh sekali kerana tidak pandai mengenai tajuk yang dicadangkan malah tidak juga memandang rendah keupayaannya berhujjah , tetapi dengan rendah diri saya nak sebut bahawa saya tidak tergamak .

Kecuali lepas nih dia masuk UMNO ker ( waliyazubillah ) pas tu dia cabar saya lagi , maka Insyaallah , siapkan gelanggang , saya segera hadhir!

Ketegasan Tok Guru : Semua Pemimpin Wajar Mendokonginya.

Apabila Tok Guru tegas mahu Islam dijamin kedudukannya dalam kerajaan baru yang bakal dibentuk , maka saya melihat ia hanyalah penegasan semula terhadap prinsip dan dasar perjuangan yang diwarisi dari pejuang terdahulu . Justeru itu ia sangat wajar didokong oleh semua saff kepimpinan jamaah / parti .

Kenapa perlu ada yang mempersoalkan penegasan Tok Guru sedang ia adalah satu penegasan untuk Islam . Apakah ada yang rasa tergugat kedudukan dan kepentingannya dengan penegasan Tok Guru ? Tok Guru hanya mahukan Islam berada di atas . Menguasai keadaan dan terjamin kedudukannya.

Yang peliknya , sepanjang saya turun bersama masyarakat bawahan , tidak pula saya dengar kebimbangan umum terhadap ketegasan Tok Guru . Yang banyak saya dengar ialah kebimbangan terhadap Kerajaan Baru yang bakal dibentuk , bagaimanalah keadaan Islam dan umatnya pada masa itu. lebih baik atau sama sahaja dengan yang lepas ?

Kebimbangan mereka sebenarnya berasas sebab mereka tidak tahu bagaimana kerajaan itu mahu dibentuk , siapa bakal anggota kabinetnya . Mereka hanya menyimpan kepercayaan kepada orang yang mahu menubuhkan kerajaan baru dengan harapan kepercayaan itu tidak dipersiakan apalagi dikhianati .

Adapun ketegasan Tok Guru mahu Islam dijamin majoritinya di sambut baik oleh sebahagian besar umat Islam dan bukan Islam pun tidak takut sebab mereka sudah kenal lama PAS dengan dasar dasar Islam yang konsisten diperjuangkan . Non Muslim bukan kenal PAS baru sehari dua ini !

Apa yang saya bimbang , ada pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja mencetuskan rasa bimbang ini dikalangan ahli PAS dan kelab penyokong . Kalau mereka salah seorang pemimpin PAS , sepatutnya mereka bantu memahamkan ahli dan anggota kelab penyokong bukan menambah rumit dan resah dihati mereka.

Apabila saya bertemu dengan rakan – rakan Tiong Hua di Kuantan , mereka bertanya mengenai kerajaan baru dan sikap Tok Guru . Saya menjelaskan kenapa Tok Guru nak Islam majority dan apa rasionalnya dan bagaimana sikap Islam terhadap non muslim . Saya beri mereka Ilmu mengenai Islam dan kedudukan mereka dalam Islam .

Akhirnya mereka terima malah menyokong sikap tegas Tok Guru. Ringkasnya mereka yakin , hanya Islam yang membawa konsep dosa dan pahala dalam kehidupan dan pengurusan akan menyelamatkan manusia serta institusi dari rasuah , penyelewengan , skandal dan seumpamanya.

Masaalah yang kita hadapi hari ini ialah seperti ada tukang cucuh api atas minyak yang mengalir. Kenapa tidak ambil kain lalu kesat minyak tersebut.

Jangan Sebut Islam untuk jaga Hati Pengundi Non Muslim

Sungguh ganjil kedengaran teori atau pendekatan seperti itu. Apakah kita tidak yakin Islam adalah agama samawi untuk semua umat manusia . Bukankah antara slogan kita ialah PAS For All dan Islam For All . Jauhilah igauan kononnya non muslim takutkan Islam.

Kalau benar sekalipun mereka takut kepada Islam , kita sebagai sebuah Gerakan Islam mestilah menyebut Islam dan menjelaskannya banyak – banyak supaya semua pihak semakin hari semakain bertambah fahamnya mengenai Islam . Kalau bimbang orang tidak setuju pada Islam , maka kita pun tidak sebut pasal Islam maka bila Islam itu akan difahami oleh mereka .

Pertama kita kena jaga Islam . Pengundi boleh datang dan pergi. Kalau dia datang kita menang kalau dia pergi , kita mungkin kalah tapi kita tidak salah . Adapun Islam , kalau dia datang kita selamat dan kalau dia pergi ( kerana kita tidak menjaganya ) maka kita akan derita dunia dan akhirat . Oleh kerana itu , jagalah Islam nescaya hati pengundi dapat kita tawan insyaallah .

Tok Guru Tegas Pasal Islam di saat Pegangan Islam kian Luntur.

Hari ini , kita boleh lihat bagaimana keadaan Islam dan umatnya yang kian jauh dari penghayatan Islam yang sebenarnya. Seolah – olah Islam tidak lagi dapat disesuaikan perlaksanaannya di zaman modern ini. Penegasan demi penegasan yang dikemukakan oleh Tok Guru bukan sahaja menyentap jiwa yang alpa , menyedarkan hati yang lagha tetapi juga menginsafkan mereka yang suka meremeh dan memperlekehkan Islam.

Umat pada hari ini memerlukan seorang ulama’ yang tegas dan tidak teragak – agak untuk bercakap mengenai Islam dan kehebatannya . Optimis dan positif terhadap Islam agama Allah swt. agar ia bertapak dan berdaulat di atas tanah air kita. Setuju kan ? Inilah hikmah besar buat ummah .


posted by Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi

Ketegasan Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang: Hikmah Besar buat Ummah - Siri 1




"Siri Pertama :

Islam adalah agama suci yang telah diwahyukan oleh Allah swt. kepada seluruh umat manusia melalui Nabinya saw. Islam adalah agama buat semua manusia , dengan maksud seluruh umat manusia layak bahkan wajar menerima Islam sebagai cara hidup mereka .

Mereka yang telah menyaksikan bahawa Tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah , mempunyai komitmen untuk hidup berpandukan peraturan dan pedoman Rabbul Jalil sementara mereka yang belum memeluk ajaran Islam , tidak dipaksa menganutnya justeru Islam adalah cara hidup yang mesti diterima secara rela dan sedar .


Prinsip Islam inilah meletakkannya sebagai satu agama atau cara hidup yang paling selamat , sesuai serta layak untuk dianut dan diterima oleh semua tanpa mengira latar belakang bangsa atau keturunan . Kalau pun masih ada yang tidak mahu menganutnya , ia tetap selamat untuk berurusan malah bernaung di bawah sinar Islam dan syariatnya justeru ia adalah cara hidup yang adil malah kaya dengan toleransi.

و أن هذا صراطي مستقيما فاتبعوه و لا تتبعوا السبل فتفرق بكم عن سبيله

Sesungguhnya inilah JalanKu yang lurus maka hendaklah kamu mengikutnya dan jangan kamu mengikut jalan- jalan yang lain kerana kelak ia akan menyelewengkan kamu dari jalanNya.

Surah al Ana'am . Ayat : 153

Namun malang Islam gagal difahami oleh sebahagian manusia termasuklah sebahagian penganutnya yang hanya sekadar mampu meletakkan Islam antara dua bibirnya sahaja bahkan tidak pernah melepasi halkumnya.

Kegagalan tersebut samaada berpunca dari kejahilan tebal yang melingkari mereka atau terpengaruh dengan propaganda jahat musuh – musuh Islam yang senantiasa menyimpan dendam kesumatnya terhadap Islam .

Mereka ( musuh ) pantas dan licik untuk mengelirukan umat Islam malah nekad serta tidak pernah bosan dalam memastikan strategi mereka demi memalingkan umat Islam daripada hidup berlandaskan wahyu dan sunnah . Malah kemampuan mereka sampai melewati sempadan pejuang – pejuang Islam yang bersama jamaah . Mereka mampu mengeliru dan mengucar kacirkan fikrah ummah.

Firman Allah swt :

و لا يزالون يقاتلونكم حتى يردوكم عن دينكم ان استطعوا

Mereka akan senantiasa memerangi kamu sehinggalah mereka memalingkan kamu dari agama kamu jika mereka mampu melakukankanya .

Surah al Baqarah . Ayat : 217

Situasi Ummah Hari ini Memerlukan Ketegasan Seorang Ulama .

Tahap kejayaan mereka ( musuh ) menyusup masuk ke tengah – tengah kelompok dan pemikiran umat Islam sangat jelas dan ketara .

Longgarnya penghayatan Islam dikalangan muslim , bahkan umat Islam lebih banyak habiskan masa bertelagah sesama sendiri , non muslim walau sejak sekian lama hidup dalam masyarakat muslim, kian memuncak sikap prejudis mereka terhadap Islam dan semangat dendam serta benci semakin tebal dikalangan musuh Islam menjadi bukti kukuh kejayaan mereka ( musuh ) .

Turut melengkapkan bukti yang telah sedia kukuh ialah bagaimana kita melihat Islam begitu mudah dipermain , dipersenda , diperlekeh dan dipandang rendah tanpa umat Islam kini mampu berbuat apa – apa selain mengalah , mengeluh dan mengharapkan agar musibah ini segera berakhir .

Fenomena ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja sebaliknya gerakan mengembalikan semula Islam ke orbit agongnya mestilah diaktifkan. Ia bertujuan supaya seluruh umat manusia kembali dapat melihat kehebatan serta keagongan Islam yang penuh mulia , adil dan suci sebagaimana ianya pernah diperjuang dan ditegakkan oleh Nabi kita Muhammad saw.

Gerakan ini dianggap sangat mendesak setelah sekian lama Kehebatan Islam di tudung atau diselubung oleh fikrah asing dan juga fitnah serta tohmahan terancang oleh barat dan bonekanya .

Sejarah perjuangan Islam dinegara kita jelas menunjukkan bagaimana hadhirnya ulama’ yang tegas mampu meletakkan Islam dihormati dan disegani . Maka , untuk tujuan yang sama sebagaimana yang pernah dicapai melalui sejarah semalam , kita di hari ini juga sangat memerlukan ulama’ yang tegas untuk memimpin Islam dan ummahnya agar kembali berdaulat .

Tegas bukan keras dan Hikmah bukan lemah .

Tegas bermaksud mempertahankan kesucian Islam dan menzahirkannya disaat pelbagai pihak mencurigai kesucian Islam dan sebahagiannya pula berasa rendah diri untuk menonjolkan Islam, bimbang kalau – kalau non muslim tidak boleh menerimanya.

Tegas bersama hujjah syariah agar Islam tidak dipandang rendah justeru kita mulia dan hebat kerana Islam bukan kerana undi atau sokongan ramai . Saidina Omar al Khattab di hari menerima anak kunci Kota Baitil Muqaddas pernah menegaskan :

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما نبتغ عز بغير ما أعزنا الله أذلنا الله .

Kita adalah satu golongan yang diberikan kemuliaan ( kehebatan ) oleh Allah dengan Islam maka sesiapa yang mencari kemuliaan selain apa ( Islam ) yang dengannya Allah telah muliakan kita , nescaya Allah akan menimpakan kehinaan kepada kita.

Keras menyebabkan orang lari dari perjuangan sebagaimana Allah sebut dalam Al Quran :

فبما رحمة من الله لنت لهم و لو كنت فظا غليظ القلب لانفضوا من حولك .

Bukti rahmat dari Allah , dilembutkan hatimu terhadap mereka , jika engkau berhati kasar nescaya musuh akan lari dari sisimu.

Surah aali Imran . Ayat 159

Namun tegas pula diperlukan agar orang menghormati agama Allah swt. agama yang suci. Sebagaimana Allah swt. juga berfirman :

ثم جعلناك على شريعة من الأمر فاتبعها و لا تتبع أهوآء الذين لا يعلمون

Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad ) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar)

( Surah Al Jathiyah . Ayat : 18 ).

Nabi Kita Muhammad saw pernah memperlihatkan ketegasannya . Sabda Baginda saw :

لو وضعوا الشمس في يميني والقمر في يساري على أن أَتركَ هذا الأمرَ حتى يُظْهِرَهُ اللهُ أو أَهْلِكَ دُوْنَهُ .. مَا تَرَكْتُ

Sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan ditangan kiriku supaya aku meninggalkan urusan ( perjuangan ) agama ini sehinggalah Allah menzahirkannya ( memenangkannya ) atau aku binasa kerananya , sekali – kali tidak akan aku tinggalkan ( perjuangan ini ) .

Sirah ibnu Hisyam

Hikmah Perjuangan Suci

Sementara Hikmah bermaksud bijak bertindak dan manafaatkan ruang untuk meletakkan Islam mengatasi segalanya . Mengatasi kepentingan peribadi dan agenda kelompok . Sekalipun tindakan itu memulangkan kesan yang sangat perit dan mendatangkan implikasi yang sangat getir .

Seperti kekalahan dalam pilihanraya kerana kita mengambil langkah yang tidak popular untuk mendaulatkan Islam dikalangan masyarakat yang jahil mengenai Islam. Kekalahan tersebut tidak boleh dianggap hasil dari tindakan yang tidak berhikmah justeru tindakan itu adalah untuk mendaulatkan islam .

Nabi Nuh as. Mengambil tempoh 950 tahun untuk berjuang , ( kalau dinilai melalui penggal pilihanraya , ertinya Nabi Nuh as kalah dalam 190 kali pilihanraya ) . Apakah Nabi Nuh as. Tidak berhikmah dalam dakwah dan perjuangannya sehingga kalah sedemikian rupa ?

Nabi kita Muhammad saw. Meskipun berbekalkan mukjizat yang banyak dan Baginda adalah kekasih Allah saw malah penghulu segala Rasul , pun mengambil masa 13 tahun sebelum menegakkan Negara Islam di Madinah al Munawwarah dan hampir 23 tahun untuk menumbangkan kerajaan jahiliyyah Makkah . Apakah kegagalan Nabi saw. Menegakkan Islam dan menumbangkan Jahiliyyah dalam tempoh satu atau dua penggal ( 5 – 10 th ) ( nisbah penggal pilihanraya ) dianggap Nabi saw tidak berhikmah dalam perjuangannya ?

Tentu sahaja Islam tidak pernah kalah kecuali ia hanya belum menang untuk mendaulatkan Islam . Kegagalan untuk mendaulatkan Islam dalam tempoh – tempoh tertentu pula bukanlah kerana ketiadaan hikmah dalam tindakan atau strategi tetapi demikianlah sunnah perjuangan yang wajib melalui ibtila’ dan mehnah .

Firman Allah swt :

لو كان عرضا قريبا و سفرا قاصدا لاتبعوك و لكن بعدت عليهم الشقة

Jika sekiranya perjuangan ini adalah untuk mencapai hasil yang cepat dan perjalanan yang dekat , nescaya mereka ( musyrikin ) akan mengikut kamu tetapi perjuangan ini jauh dan sukar dirasakan oleh mereka .

Surah at Taubah . Ayat : 42

Selepas kejatuhan Khilafah Islam Othmaniah sejak 3.3. 1924 yang lalu , hinggalah hari ini belum ada sebuah pun Negara umat Islam yang benar – benar dapat mendaulatkan syariat Islam . Entah berapa juta ummah dan ulama’ mereka yang telah gugur sebagai syuhada’ di medan juang demi memperjuang dan menegakkan Islam . Apakah gugurnya umat Islam , mujahid dan ulama’ mereka dalam jumlah yang begitu ramai sabagai manifestasi dari ketiadaan hikmah dalam perjuangan mereka ?

Salah besar kalau kita hanya memahami hikmah itu apabila kita menang , ( apatah lagi kemenangan itu baru sepenggal ) sementara kalah pula segera ditafsir sebagai salah perhitungan dan silap strategi perjuangan .

Hikmah Kemenangan : Syukur bukan Bangga

Nabi Sulaiman As. Telah menunjuk contoh agar kita bersyukur diatas kurniaan Allah berupa kuasa dan pengaruh . Firman Allah swt :

قال هذا من فضل ربي ليبلوني ءأشكر أم أكفر

Nabi Sulaiman telah berkata : Inilah sebahagian dari kelebihan kurnia Tuhanku bagi mengujiku apakah aku bersyukur atau kufur ….

Surah an Naml . Ayat : 40

Demikian firman Allah swt :

إذا جاء نصر الله و الفتح و رأيت الناس يدخلون في دين الله أفواجا فسبح بحمد ربك و استغفره إنه كان توابا

Apabila telah datang pertolongan dan kemenangan nescaya engkau melihat manusia berduyun – duyun menganut Agama Allah , maka bertasbihlah memuji Tuhanmu dan berIstighfarlah sesungguhnya Allah Maha menerima Taubat .

Surah An Nasr . Ayat : 1 – 3

Hikmah Kekalahan : Sabar dan Istiqamah

وكأين من نبي قاتل معه ربيون كثير فما وهنوا لما أصابهم في سبيل الله و ما ضعفوا و ما استكانوا و الله يحب الصابرين

Dan berapa ramainya Nabi yang berjuang bersama – sama mereka sejumlah besar dari pengikutnya yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana musibah ( kekalahan ) yang menimpa mereka di jalan Allah swt. dan tidak lesu dan tidak pula menyerah kepada musuh . Allah menyukai orang – orang yang sabar .

Surah aali Imran . Ayat : 146




posted by Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi

Friday, October 3, 2008

Kit Siang 'Beraya' Di Rumah Tok Guru Abdul Hadi Awang

Marang - Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang mengunjungi Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempena Aidil Fitri, di rumahnya di Kampung Rhusila dekat sini semalam.



Kit Siang hadir dengan diiringi oleh rombongan anggota DAP Terengganu tiba di perkarangan rumah Tok Guru pada jam 9.27 malam.

Kedua-dua pimpinan parti Pakatan Rakyat itu telah berbincang dan beramah mesra sambil menikmati hidangan juadah dan kuih raya.

Antara pokok perbincangan mereka adalah berkisar sekitar isu-isu politik negara dan hal ehwal semasa termasuk perkembangan Pakatan Rakyat dan pelan peralihan kuasa.

Turut bersama dalam pertemuan itu adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Mustafa Ali dan Pengerusi Penaja DAP Kuala Terengganu Ng Chai Hing.

Buletinonline difahamkan Kit Siang akan disertai oleh beberapa pimpinan DAP lain dalam rangka percutian sempena Aidil Fitri.



Dalam perkembangan lain, Setiausaha DAP Lim Guan Eng berharap Islam akan menjadi teras kepada usaha merapatkan silaturahim antara kaum di negara ini.

"Seperti mana yang saya faham, Islam sebagai agama yang syumul atau universal adalah Ad-Din atau cara hidup menyeluruh yang mencakupi semua aspek kehidupan manusia sama ada ekonomi, politik mahupun social,
"ia tidak bersifat perkauman kerana Ad-Din adalah berteraskan sistem keadilan tanpa mengira kaum dan agama,
"sememangnya, saya amat menghormatinya dan berharap ia akan menjadi teras kepada usaha merapatkan silaturahim antara kaum di negara ini," kata Guan Eng dalam perutusan Eidulfitrinya yang dipetik Harakahdaily.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang percaya bahawa semua agama di dunia ini turut mengajak para umatnya melakukan kebaikan termasuk agama Islam itu sendiri.

Katanya al-Quran menyebut mengenai Amar Ma’aruf Nahi Mungkar, iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan dan yakin umat Islam yang beriman dan bertakwa pastinya menerima prinsip keadilan tulen untuk semua.

Menurutnya bagi pihak DAP, beliau percaya kepelbagaian kaum, agama, adat, budaya dan bahasa, tidak pernah menjadi penghalang atau membatasi kemajuan Malaysia.

Beliau turut mengajak rakyat Malaysia menolak politik jahat tersebut yang hanya mementingkan golongan kecil yang amalkan kemungkaran.

Sebaliknya, kata beliau, semua mestilah besatu di bawah panji nilai-nilai teras universal yang diterima semua iaitu, kebebasan, keadilan, kebenaran, keluhuran undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan dan ketakwaan kepada Tuhan.

"Barulah kita boleh dirikan sebuah kerajaan bercorak demokrasi, ketuanan rakyat dan kepimpinan beretika mencontohi pemimpin agung Islam Khalifah Umar Abdul Aziz," katanya.

Rakyat Malaysia, kata beliau, tidak patut benci-membenci semata-mata kerana warna kulit atau fahaman agama yang berbeza

Monday, September 29, 2008

KAMI MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI



Assalamualaikum w.b.t

kami warga cawangan PAS Pengkalan Arang mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin..Semoga latihan kita di bulan Ramadhan ini dapat membentuk ketaqwaan dan kezuhudan yang dari tahun sebelumnya...Amin

Monday, September 1, 2008

Perutusan Mursyidul Am PAS sempena Ramadan

Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat
Mon | Sep 01, 08 | 9:27:56 am MYT
Alhamdulillah kita dipertemukan kembali dengan bulan penuh rahmat dan keampunan daripada Allah Subhanawataala. Saya merakamkan ucapan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada seluruh rakyat Malaysia dan umat Islam di pelusuk dunia. Iklan

Menjadi kebiasaan kita orang Melayu mengenali Ramadan sebagai bulan puasa. Tanpa disedari sebutan yang sudah lama berakar umbi itu tidak tepat dengan pengertian sebenar Ramadan.

Ramadan bukan sekadar dihiasi dengan ibadat puasa yakni menahan diri daripada makan, minum dan apa sahaja yang membatalkan puasa kerana takrifan sebenarnya lebih luas lagi.

Puasa juga sebenarnya boleh dilakukan pada bulan lain, seperti yang menjadi amalan sesetengah daripada kita iaitu bulan Rejab dan Syaaban. Sebab itulah penggunaan istilah Ramadan lebih tepat bagi menggambarkan maksud dalam melaksanakan amal ibadat sepanjang bulan penuh berkat ini.

Ramadan juga membawa maksud bulan kebajikan di mana di dalamnya ada zakat fitrah yang menjadi kewajiban dilaksanakan setiap umat Islam. Umat Islam amat digalakkan bersedekah sebagai melengkapkan amalan ibadat puasa kita di siang hari.

Ini kerana di sekeliling kita ada mereka yang kurang bernasib baik. Maka pada kesempatan ini kita hulurkan sedikit sumbangan kepada mereka.

Oleh itu saya mengajak umat Islam menggunakan kesempatan Ramadan kali ini bagi menggandakan amal ibadat serta memohonkan keampunan daripada Allah Taala.

Hanya 'Amar Makruf Nahi Mungkar' boleh cegah jenayah - Lim Guan Eng



Mohd Sabri Said
Mon | Sep 01, 08 | 3:06:40 pm MYT
PERMATANG PAUH, 1 Sept (Hrkh) - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyeru semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, keturunan atau bangsa mengamalkan 'Amar Makruf Nahi Mungkar' jika mahu segala masalah seperti kadar jenayah, kecurian, rasuah dan penyelewengan dapat dikurangkan. Iklan

Ujar beliau, hanya dengan mengamalkan kebaikan sambil menghindarkan perkara yang boleh menghampiri perbuatan terkutuk negara dapat diselamatkan daripada hancur.



"Sempena bulan puasa ini saya menyeru semua pihak tidak kira apa bangsa dan agama sekali pun marilah kita bersama-sama mengamal ' Amal Makruf Nahi Mungkar' sebagai jalan terbaik untuk atasi gejala moral di negara ini, " tegasnya sewaktu memberikan.

Beliau percaya, semua agama mengamalkan kebaikan maka tidak menjadi kesalahan sekiranya rakyat yang cintakan keharmonian, kesejaheraaan, keadilan dan ketamadunan sejagat.

Menurutnya, negara akan terus maju dengan sikap atau amalan tersebut kerana ia terbukti dengan pemerintahan secara Islam yang mementingkan kaedah berkenaan.

Guan Eng berkata, setelah mencapai kemenangan dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh semua petugas jangan bersikap sombong dan bongkak kerana sikap sebegitu boleh mengundang kemarahan orang ramai yang akhirnya menggagalkan matlamat Pakatan Rakyat. (Gambar - Lim Guan Eng berucap, hadir sama Dato' Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Dato' Zaharin Hashim dan Ustaz Salleh Man).

Katanya, petugas atau pun ahli parti di parlimen Permatang Pauh hendaklah mengerakkan semua organisasi seperti biasa serta senantiasa bersiap sedia membantu masyarakat.

"Kita dah menang dan untuk menjagai kemenangan satu tugasan yang amat berat. Maka, ia perlu kerjasama yang baik daripada semua parti dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Kerajaan negeri katanya, mengemukakan lima prinsip yang patut diikuti untuk mengujudkan situasi yang aman dan makmur dalam urus tadbir pemerinthan.

Pertamanya, pemerintahan mesti bersih. Kedua, cekap dalam segala bidang urus tadbir yang membabitkan kakitangan kerajaan ataupun swasta.

Ketiganya,pemerintahan berlandaskan demokrasi yang betul,

Keempatnya pula, mengwujudkan perpaduan dengan lebih sistematik serta memperkasakan rakyat berbilang bangsa dan ke lima, perlu menegakan sifat keharmonian, rendah diri dan merdeka secara hakiki.