Wednesday, March 25, 2009

Saya restui Nizar tanding di Bukit Gantang - Mursyidul Am PAS




Tuesday, March 24, 2009

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau merestui pemilihan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai calon parti itu bagi pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak pada 7 April ini.

“Saya sudah hubungi Nizar dan merestui pencalonan beliau untuk bertanding,” katanya kepada pemberita selepas dikunjungi Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Ashok K. Kantha di sini hari ini.

Menteri Besar Kelantan itu sebelum ini dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan agar Mohammad Nizar bertanding bagi kerusi itu berdasarkan pengalaman bekas Presiden PAS, Allahyarham Tan Sri Mohd Asri Muda, yang pernah memegang satu kerusi Dewan Undangan Negeri dan satu kerusi Parlimen secara serentak menyebabkan pengaruh Allahyarham dan PAS semakin menurun kerana tidak mampu memberi khidmat dengan baik.

“Tetapi bila memikirkan suasana sudah berbeza pada zaman Datuk Asri dan sekarang, jadi tidak ada masalah untuk saya merestui Nizar,” katanya.

Mengenai tindakan Kementerian Dalam Negeri menggantung penerbitan dua akhbar parti pembangkang, Harakah dan Suara Keadilan, selama tiga bulan berkuatkuasa sertamerta, Nik Aziz mengajak rakyat supaya memulau semua akhbar arus perdana sebagai satu tindak balas.

“Kalau dia gantung akhbar pembangkang, kita pun gantunglah akhbar dia.

“Kerajaan kena ingat gantung akhbar pun kita ada Internet dan SMS yang boleh membantu kita,” katanya.

http://www.bernama.com

Tanggungjawab pembaca internet edarkan maklumat




Monday, March 23, 2009
KUALA LUMPUR, 24 Mac (Hrkh) - Demi menyelamatkan negara daripada diperintah oleh pemimpin tidak amanah, rasuah dan tidak berakhlak maka menjadi tanggungjawab besar kepada pembaca dan pelayar internet yang prihatin kepada perjuangan Pakatan Rakyat selama ini untuk mengedarkan maklumat dan laporan di internet kepada umum.


Ini berikutan tindakan terburu-buru Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang telah menggantung permit akhbar Harakah dan Suara KeADILan selama tiga bulan yang secara tidak langsung membataskan maklumat tentang penyelewengan dan pendedahan kepincangan Umno-BN kepada rakyat.

Demikian seruan Ketua Penerangan PAS Dato' Mahfuz Omar kepada pembaca setia Harakah, Harakahdaily dan pelayar-pelayar laman-laman web alternatif dan blogger berikutan 'serangan mengejut' KDN terhadap kebebasan media.

"Demi untuk memastikan negara berada dalam keadaan aman dan diperintah oleh pemimpin yang berwibawa maka menjadi satu tanggungjawab kepada pembaca dan pelayar Harakahdaily khususnya dan laman web serta blogger untuk sama-sama membantu berkempen dan meneruskan perjuangan Pakatan Rakyat.

"Mereka musnahkan 'senjata kita' (Harakah) tetapi kita mempunyai bala tentera yang setia (pembaca-pembaca) menunaikan tanggungjawab menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Katanya, gelombang reformasi 1999 yang menyaksikan kebanjiran edaran maklumat internet perlu dicetuskan semula untuk memastikan berita dan laporan benar sampai ke tangan rakyat sekaligus untuk memastikan kemenangan Pakatan Rakyat di pilihan raya di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

"Saya menyeru kepada semua yang prihatin kepada perjuangan rakyat supaya secara sukarela mengedarkan maklumat benar dan tepat yang ada di internet khususnya Harakahdaily.

"Walaupun PAS akan tetap menyampaikan maklumat melalui risalah, ceramah, buletin-buletin namun pembaca juga mesti menjadi 'pengedar' Harakahdaily kepada rakyat. Keberkesanan maklumat internet sudah menunjukkan hasil cemerlang pada pilihan raya 2008 dan 1999. Dan kita yakin akan mengulanginya lagi!," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena. - azm _

Saturday, March 21, 2009

Jom Kerja Untuk Islam

Dua-dua Tok Guru Betul Belaka – Cikgu Pa



Written by Wan Kay
Friday, 20 March 2009 09:55

http://buletinonline.net/images/stories/berita2/Dato%27Pa.JPGKuala Terengganu - Kenyataan dua pimpinan tertinggi PAS, Mursyidul Am Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung isu ‘kerajaan perpaduan’ kedua-duanya betul.


Pesuruhjayanya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali (Cikgu Pa) berkata kedua-dua kenyataan pemimpin PAS itu betul kerana melihat pada perspektif yang berlainan.

“Kedua-dua kenyataan pemimpin PAS (Ustaz Nik Abdul Aziz dan Ustaz Abdul Hadi) itu betul. Sebab, mereka melihat pada perspektif yang berlainan.

“Kenyataan Tuan Guru Nik Aziz merujuk kepada keputusan Muktamar Tahunan PAS yang menegaskan tidak akan ada kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) itu betullah.

“PAS memang berpendirian tidak akan bekerjasama dengan BN. Itu jelas dengan keputusan muktamar di Perak tahun 2008 lalu,” jelasnya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Terengganu, hari ini.

Tetapi, katanya yang disebutkan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi ialah kerjasama dalam ‘Kerajaan Perpaduan’ (unity government).

Menurutnya, ‘Unity Government‘ (Kerajaan Perpaduan) yang dimaksudkan itu sama sekali berlainan dengan gabungan PAS-BN.

“Unity Government ialah suatu lontaran menggabungkan semua parti politik iaitu BN-Pakatan Rakyat dan bukan BN dengan PAS sahaja.

“Tetapi BN dengan Pakatan Rakyat yang terdiri dari PAS, Parti KeADILan Rakyat (PKR) dan DAP,” ujarnya.

Beliau berpendapat, Idea tersebut timbul mungkin dari pengalaman banyak negara sebenarnya yang melaksanakan konsep Kerajaan Perpaduan itu.

Malah, katanya di negara barat sendiri pun ada campuran antara parti-parti utama dengan parti kecil.

“Ini berlaku dalam konteks, negara yang yang mengamalkan kaedah pilihan raya di mana kerusi yang diperolehi berdasarkan peratus yang diperolehi oleh parti-parti itu.

“Contohnya, sesuatu parti yang dapat 30 peratus undi popular maka, dia (parti) itu akan dapat 30 peratus daripada kerusi dalam kerajaan itu,” ujarnya.

Menurutnya, beberapa Negara yang mengamalkan konsep tersebut seperti Indonesia dan Turki. Malah, katanya sedang diusahakan sekarang ini di Palestin antara Fatah dan Hamas.

“Ini yang saya lihat dilontarkan dalam konteks kita mempunyai masalah utama yang melanda negara iaitu masalah ekonomi. Jadi masing-masing, jika kurang politiking boleh menumpu kepada masalah ekonomi.

“Apa yang dilontar ini, ‘benda’ (perkara) baru dan sememangnya tidak ada keputusan sebab benda baru,” jelasnya.

Kata Dato’ Mustafa, tetiap pemimpin berhak untuk menyatakan pandangan peribadi sama ada boleh diterima atau tidak itu persoalan lain.

Mengulas pendirian PAS Terengganu beliau menjelaskan tertakluk kepada PAS Pusat dan tidak boleh bertindak sendirian.

“PAS Terengganu tertakluk kepada PAS Pusat dan tidak boleh melakukan bersendirian. Kita (PAS) kena tengok dahulu apa perincian yang dimaksudkan dengan Kerajaan Perpaduan itu.

“Sebab apa pun, kompenan dalam Pakatan Rakyat kena bersetuju dan PAS tidak boleh bersendirian jika mahu merealisasikan idea tersebut,” tegasnya.

Katanya, jika mahu mewujudkan Kerajaan Perpaduan pun PAS mesti bersama PKR dan DAP.

Hal tersebut, menurutnya belum dibincangkan pandangan masing-masing dan PAS Terengganu tetap tidak bersetuju jika bersendirian bersama Barisan Nasional.

“Kita (PAS) tetap bersama Pakatan Rakyat. Isu kata Nik Aziz bidas Hadi itu hanya ungkapan pihak media yang mensensasikan berita masing-masing.

“Perkara itu tidak berlaku dan hanya laporan Utusan Malaysia kata ‘bidas’. Pertembungan kedua-dua pemimpin itu tidak berlaku sebenarnya. Sebab, perbezaan itu dalam konteks yang berlainan dan kedua-dua mereka itu betul,” ujarnya.
Last Updated on Friday, 20 March 2009 11:57