Wednesday, March 25, 2009

Saya restui Nizar tanding di Bukit Gantang - Mursyidul Am PAS




Tuesday, March 24, 2009

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau merestui pemilihan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai calon parti itu bagi pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak pada 7 April ini.

“Saya sudah hubungi Nizar dan merestui pencalonan beliau untuk bertanding,” katanya kepada pemberita selepas dikunjungi Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Ashok K. Kantha di sini hari ini.

Menteri Besar Kelantan itu sebelum ini dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan agar Mohammad Nizar bertanding bagi kerusi itu berdasarkan pengalaman bekas Presiden PAS, Allahyarham Tan Sri Mohd Asri Muda, yang pernah memegang satu kerusi Dewan Undangan Negeri dan satu kerusi Parlimen secara serentak menyebabkan pengaruh Allahyarham dan PAS semakin menurun kerana tidak mampu memberi khidmat dengan baik.

“Tetapi bila memikirkan suasana sudah berbeza pada zaman Datuk Asri dan sekarang, jadi tidak ada masalah untuk saya merestui Nizar,” katanya.

Mengenai tindakan Kementerian Dalam Negeri menggantung penerbitan dua akhbar parti pembangkang, Harakah dan Suara Keadilan, selama tiga bulan berkuatkuasa sertamerta, Nik Aziz mengajak rakyat supaya memulau semua akhbar arus perdana sebagai satu tindak balas.

“Kalau dia gantung akhbar pembangkang, kita pun gantunglah akhbar dia.

“Kerajaan kena ingat gantung akhbar pun kita ada Internet dan SMS yang boleh membantu kita,” katanya.

http://www.bernama.com

No comments: