Monday, July 19, 2010

Berapa harga bot ini?


Kerajaan Negeri Terengganu telah membina dua buah bot penambang (pada konsep asalnya) untuk dijadikan bot pelancong menyelusuri Sungai Terengganu di sini. Tujuan asal sebagaimana yang disebut oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman ialah untuk membantu Persatuan Bot Penambang Seberang Takir bagi menambah pendapatan mereka.

Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir dalam satu majlis perjumpaan dengan pengusaha bot penambang Seberang Takir (ahli-ahli persatuan) memberitahu bahawa bot yang dibina itu menelan kos sebanyak RM270,000 sebuah.

Kos yang mahal itu kata beliau adalah disebabkan ia diperbuat daripada kayu cengal yang pada perkiraannya boleh tahan sampai 100 tahun.

Orang Seberang Takir tersenyum bila Razif menyebut begitu. Sebenarnya mereka sangat arif mengenai pembuatan bot yang memang sangat terkenal di kawasan ini. Setahu mereka selama ini semua bot nelayan dan bot penambang adalah diperbuat dari kayu cengal, tidak pernah orang membuatnya selain dari kayu itu.

Razif cuba untuk mengelirukan orang kampung Seberang Takir, padahal ucapan beliau itu menampakkan kejahilan beliau. Oleh kerana hendak munasabah dengan harga yang begitu mahal bagi bot itu, beliau sampai berkata begitu. Apakah mungkin beliau 'ditipu' oleh tukang bot itu? Rasanya tidak munasabah, kerana orang secerdik beliau tak kan sampai ditipu oleh orang.

Di Seberang Takir ini ada beberapa lagi tempat pembinaan bot selain banyak terdapat di Pulau Duyung yang sudah terkenal di seluruh dunia itu. Bila ditinjau dengan pengusaha-pengusaha lain, mereka menyebut bahawa kos sebenarnya bagi sebuah bot itu tidak sampai RM100,000. Harga kulitnya sekitar RM60,000 dan injinnya pula kira-kira RM30,000.

Razif pernah mencabar dalam satu ceramahnya di Seberang Takir untuk menempah sepuluh buah bot jika harganya semurah itu. Sebenarnya tidak payah cabar, terus sahaja pergi menempah dari tempat berkenaan.

Apa yang jelas, mungkin terdapat unsur-unsur penyelewengan dan rasuah dalam kes ini. Sebelum ini sudah banyak terbukti melalui laporan-laporan yang dibuat oleh Ketua Audit Negara berkait dengan pembelian dengan harga melampaui munasabah.

Jangan sampai nantinya, tujuan asal untuk membantu 'tok nambang' Seberang Takir jadi sebaliknya. Kroni-kroni juga yang kenyang. Tok Nambang terus berputih mata...

sumber : http://ibnugharib.blogspot.com

No comments: