Saturday, October 9, 2010

Gambar : Ahli Parlimen Batu Sapi maut kemalangan


KOTA KINABALU 9 Okt. - Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Batu Sapi, Datuk Edmund Chong Ket Wah (gambar), 54, terbunuh apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di sini hari ini.

Kejadian berlaku pukul 11.40 pagi ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki 750cc terbabit dalam kemalangan di Jalan Coastel Tanjung Aru-Kota Kinabalu, berhampiran Apartmen Graceville di sini.

Berikutan kemalangan itu, wakil rakyat tersebut tercampak kira-kira lima meter ke laluan bertentangan selepas dipercayai merempuh besi penghadang jalan.

Edmund dikatakan mengalami kecederaan serius di muka dan kepala berikutan kemalangan itu.

Ketika kejadian, beliau dikatakan dalam perjalanan pulang selepas membeli tiket kapal terbang untuk menghadiri persidangan Parlimen minggu depan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, semasa kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Tanjung Aru menghala ke bandar Kota Kinabalu.

"Kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal berkuasa besar yang dinaiki Ahli Parlimen itu dengan sebuah kenderaan jenis Mercedes-Benz yang datang dari arah yang sama.

"Siasatan awal mendapati, berlaku pergeselan antara dua kenderaan itu kerana terdapat kesan kemik di bahagian kanan kereta berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk dibedah siasat.

Katanya, pemandu kereta Mercedes-Benz berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan.

Dalam pada itu, katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kita sedang mengadakan siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti punca kejadian itu.

"Sehubungan itu, kita meminta orang awam yang menyaksikan kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat," ujarnya.

Selain menjadi Ahli Parlimen Batu Sapi, Edmund merupakan Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah.

Pada pilihan raya umum 2008 lalu, Edmund menang kerusi Parlimen Batu Sapi setelah menewaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Beliau memperoleh 9,479 undi manakala, Kwong Wing mendapat 5,771 undi.

Kali pertama beliau menjadi Ahli Parlimen adalah pada 2004 selepas menang tanpa bertanding di kerusi Parlimen Batu Sapi.

Beliau yang juga Bendahari Parti Bersatu Sabah (PBS) negeri dan Ketua PBS Bahagian Elopura, meninggalkan seorang isteri, Linda Tsen Thau Lin, 54, dan empat anak.

Utusan

No comments: