Sunday, November 20, 2011

(HATI-HATI) Tedung Selar 4.5 meter dan Ular sawa 150 kilogram

Tedung Selar di atas mesin basuh

BAHAYA...ular tedung selar sepanjang 4.5 meter yang ditangkap anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

BAHAYA...ular tedung selar sepanjang 4.5 meter yang ditangkap anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

MASJID TANAH: Seorang suri rumah nyaris dipatuk ular tedung selar yang melingkar di atas mesin basuh di rumah mentuanya di Kampung Solok, Pengkalan Balak, dekat sini, ketika hendak mandi selepas menyediakan persiapan untuk juadah raya, tengah malam, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.05 tengah malam itu, Zety Zali, 42, sedang bersiap untuk masuk ke bilik air dan ketika sedang menadah air di dalam besen, beliau terpandang objek berwarna kelabu sebesar paha budak berusia tujuh tahun melunjur ke bawah.

Menurutnya, ketika masuk ke dalam bilik air tiba-tiba beliau terdengar bunyi seakan mendengus dari arah mesin basuh dan menoleh untuk melihat objek berkenaan yang pada mulanya disangkakan kayu.

Beliau cuba menjolok dengan kayu sebelum mendapati objek itu yang lembik dan bergerak dan senyap.

“Saya keluar sebentar sebelum masuk semula selepas beberapa minit kerana berasa tak sedap hati. Saya terperanjat dan menjerit sekuat hati kerana benda itu rupa-rupanya ular tedung sepanjang kira-kira empat meter lebih yang menjalar ke atas dinding bilik air untuk keluar.

“Saya menjerit memanggil suami yang ketika itu berada di luar, namun jeritan saya tidak didengari sesiapa sebelum saya keluar meminta bantuan,” katanya.


Ular sawa 150 kilogram ditangkap


Anggota Jabatan Pertahanan Awam dan penduduk menunjukkan ular sawa batik sepanjang enam meter yang kekenyangan setelah menelan seekor babi hutan di Ayer Keroh, Melaka, semalam. - Utusan/Abdul Razak Latif

UTUSAN ONLINE

MELAKA - Pelbagai persoalan timbul apabila ternakan ayam sering hilang dan keadaan itu membingungkan penduduk Kampung Kemengkang, Kesang Tua, dekat sini.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk mengadakan kawalan untuk menangkap 'individu yang tidak bertanggungjawab' itu, ayam yang dibela tetap hilang dan kes itu seperti tiada noktah.

Bagaimanapun, segala kegelisahan dan persoalan yang kerap bersarang di fikiran penduduk terjawab apabila seekor ular sawa batik sepanjang enam meter ditemui di sebuah ladang di kampung berkenaan hari ini.

Ketika ditemui, ular tersebut tidak dapat bergerak kerana dipercayai masih terlalu kenyang selepas menelan seekor babi hutan.

Seorang penduduk, Abd. Manan Abu Bakar, 56, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, dia bersama dua lagi penduduk sedang memerhati kerja-kerja membersihkan ladang untuk projek penanaman semula getah.

"Bagaimanapun, kami terkejut dengan jeritan pemandu jentolak yang sedang menolak salah satu rumpun semak.

"Dia memberitahu ada ular sawa dan kami bergegas ke kawasan semak tersebut dan sangat terkejut apabila mendapati seekor ular sedang melingkar dan tidak dapat bergerak kerana kekenyangan di situ," katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, mereka tidak berani menangkap ular itu dan mengambil keputusan menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

"Kami percaya terdapat seekor ular sawa lagi di sini kerana ular sawa yang ditangkap merupakan ular sawa betina," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi JPAM, Zaini Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan ular sawa itu pada pukul 10.15 pagi.

Katanya, sebaik menerima panggilan itu, beliau dan dua lagi anggota JPAM Ayer Keroh di sini bergegas ke tempat itu.

"Ular ini mudah ditangkap kerana ia sukar untuk bergerak akibat terlalu kenyang," katanya,.

Menurutnya, ular sawa itu akan diserahkan kepada Zoo Melaka.

No comments: