Monday, October 20, 2008
Doakan Tok Guru kita selamat....
TG Nik Aziz sedang dirawat, tidak dapat hadir majlis perasmian sidang DUN
KOTA BHARU 20 Okt. — Menteri Besar Datuk TUAN GURU Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian tidak dapat menghadiri majlis perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri kali ketiga bagi penggal pertama tahun ini yang berlangsung selama seminggu mulai hari ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata TUAN GURU Nik Aziz telah dinasihatkan oleh pakar perubatan HUSM agar berehat beberapa hari lagi.
“Doktor telah menasihatkan Menteri Besar supaya berehat di hospital untuk sehari dua lagi dan Insya-Allah bila benar-benar sihat, beliau akan kembali menghadiri persidangan Dewan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian persidangan oleh Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra.
Ahmad berkata TUAN GURU Nik Aziz dimasukkan ke HUSM sejak semalam dan keadaannya dilapor tidak membimbangkan.
Beliau merasa tidak sihat selepas turut mengadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 di Kuala Terengganu, selama dua hari yang berakhir Khamis lepas.
Ahmad berkata jika keadaan kesihatan TUAN GURU Nik Aziz bertambah baik, Menteri Besar itu dijangka dapat membentangkan Bajet Negeri 2009 di persidangan Dewan nanti.
TUAN GURU Nik Aziz, 77, yang juga Mursyidul Am PAS pernah dirawat di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur pada 2004 berikutan masalah jantung dan juga pernah dirawat kerana masalah gastrik dan tekanan darah tinggi.
— BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment