Saturday, March 20, 2010

IKAN PURBA ziarah Kelantan?



PASIR PUTEH 19 Mac – Jeti Pengkalan Kekal Lestari iaitu kawasan pendaratan ikan di Tok Bali dekat sini menjadi tumpuan ramai apabila sebuah bot nelayan menunda masuk seekor ikan dipercayai spesies yu seberat kira-kira dua tan metrik dan sepanjang tujuh meter kira-kira pukul 11 pagi ini.

Ia merupakan kali pertama ikan sebesar itu didaratkan di jeti tersebut sejak ia mula beroperasi.

Ikan itu hanya berjaya diangkat kira-kira pukul 5 petang ini menggunakan kren bot nelayan tersebut selepas beberapa kali cubaan berbuat demikian gagal.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang ramai berpusu-pusu di jeti tersebut untuk melihat ikan berkenaan.

Tekong bot itu, Ek Chai Suwanpong, 46, berkata, ikan itu ditemui mati dan terapung berhampiran sebuah pulau di sekitar perairan Kuala Besar dekat Kota Bharu yang kemudiannya ditunda ke Tok Bali sejauh 20 batu nautika.

Dia yang juga seorang warganegara Thailand berkata, ikan itu terpaksa diikat dan ditunda kerana khuatir botnya yang sudah sarat dengan hasil tangkapan itu tidak dapat menampung berat ikan tersebut dan boleh menyebabkan ia karam.

“Ketika keluar dari kawasan perlindungan (pulau) kerana laut bergelora dan angin kencang malam tadi, kami temui ikan ini kira-kira pukul 8 pagi tetapi ia sudah mati.

“Berat ikan menyebabkan bot kami bergerak amat perlahan sehingga mengambil masa lebih tiga jam untuk sampai ke jeti,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan negeri, Azhar Jusoh berkata, pihaknya masih belum mengenal pasti jenis ikan itu tetapi berdasarkan pengamatan awal ia mungkin dari spesies yu.

Katanya, bangkai ikan itu akan ditanam bagaimanapun selepas dua minggu pihaknya akan mengorek semula tulangnya untuk tujuan kajian.

“Melalui kajian ini kita akan dapat mengetahui jenis ikan ini dan kenapa ia boleh sesat ke perairan negara ini serta sebab kematiannya,” katanya.


sumber : Bernama

1 comment:

_ said...

Itu ikan Whale Shark (Rhincodon typus), sejenis spesis jerung atau yu yang hidup di seluruh perairan panas dunia.


http://en.wikipedia.org/wiki/Whale_shark

http://images.google.com/images?um=1&hl=en&safe=off&tbs=isch%3A1&sa=1&q=whale+shark&aq=f&aqi=&aql=&oq=&gs_rfai=&start=0


Bukan benda pelik.
Cuma biasanya perlu ke tengah laut yang tak nampak daratan untuk terserempak dengannya.

Spesis jerung tak kira la ikan ini atau jerung Great White sekalipun memang jenis ikan purba. Hidup sejak zaman dinasour.

Kita orang Islam kena rajin belajar supaya tidak terus terkaget dengan berita begini.
Nanti tak pepasal ditertawakan orang bukan Islam kerana jumudnya kita dalam ilmu haiwan.

Yang paling ajaib, orang Jabatan Perikanan pun tak kenal ikan nih.

Macam mana la nak harapkan mereka majukan perikanan di Malaysia ?