Wednesday, May 26, 2010

Hizbullah ikrar serang Israel jika disekat

BEIRUT 26 Mei - Pemimpin Hizbullah, Sheikh Hassan Nasrallah memberi amaran pihaknya akan menyerang kapal Israel di Laut Mediterranean sekiranya negara Yahudi itu mengenakan sekatan laut ke atas Lebanon jika berperang lagi di masa depan.

Beliau berkata, kumpulan pejuang pimpinannya yang mendapat sokongan Iran itu kini mempunyai kemampuan untuk memusnahkan sebarang kapal tentera atau komersial yang belayar ke pelabuhan Israel.

Hizbullah dan Israel berperang selama 34 hari pada 2006 yang mana Israel mengenakan embargo laut dan udara ke atas Lebanon, atas alasan untuk mencegah gerila daripada dibekalkan dengan senjata.

Nasrallah semalam berkata, Hizbullah kini mampu memudaratkan Israel seperti mana yang dilakukannya terhadap Lebanon pada perang 2006.

"Dalam perang akan datang, jika kamu (Israel) menyekat pantai dan pelabuhan kami, semua kapal tentera, awam dan komersial yang menuju ke Palestin di sepanjang Mediterranean akan berada di bawah serangan roket Hizbullah," tegasnya lagi.

Berucap kepada penyokong melalui sidang video dalam perarakan besar sempena genap sedekad tentera Israel berundur dari sempadan di selatan Lebanon, Nasrallah mengulangi ancaman kumpulannya akan melancarkan roket ke atas lapangan terbang Tel Aviv dan beberapa sasaran strategik lain jika Israel menyerang infrastruktur Lebanon seperti yang dilakukan pada 2006.

"Apabila dunia melihat bagaimana kapal-kapal ini musnah dalam kawasan perairan Palestin yang dijajah, tiada siapa akan berani ke sana lagi," tambah beliau.

Dalam pertempuran empat tahun lalu, Hizbullah melancarkan kira-kira 4,000 roket ke arah Israel yang dibalas tentera Yahudi dengan memusnahkan kubu kumpulan itu di selatan dan timur serta pangkalannya di bandar Dahiyeh, di selatan Beirut.

Perang itu meragut kira-kira 1,200 nyawa di Lebanon dan 160 orang di Israel. - AP

No comments: