Monday, May 31, 2010

Kenyataan media : Serangan ke Atas Konvoi Bantuan Kemanusiaan ke Semenanjung Gaza

Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan sekeras-kerasnya mengutuk tindakan ganas ketenteraan yang diambil oleh Regim Zionis Israel terhadap rombongan bantuan keperluan harian dan ubat-ubatan yang dibawa menerusi kapal kepada penduduk Semenanjung Gaza sehingga menyebabkan kematian kepada beberapa anggota konvoi berkenaan. Rombongan itu juga turut dianggotai oleh ratusan wartawan, aktivis keamanan dan ahli parlimen dari berbagai negara, termasuklah sebilangan rakyat dari Malaysia sendiri.

PAS sentiasa menegaskan bahawa inilah wajah sebenar Regim Zionis Israel yang sememangnya sedikit pun tidak menghiraukan kutukan masyarakat antarabangsa, termasuklah kecaman keras dari Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri. Selain dari itu, timbunan puluhan resolusi yang dibawa ke meja antarabangsa juga gagal menghalang Regim Zionis Israel dari terus bertindak kejam dengan berleluasa.

PAS dengan ini menggesa Kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan proaktif dan segera bagi membawa isu ini ke OIC dan PBB. Masyarakat dunia sememangnya memerlukan satu strategi dan tindakan baru yang lebih serius, tegas, dan keras untuk memberikan tekanan kepada regim Zionis yang sudah terbukti tidak menghormati meja perundingan.

Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

* sumber gambar : http://palestinkini.info

No comments: